Nama Najib teratas dalam senarai sokong Dr M dulu - Mukhriz
Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas presidennya Najib Razak antara pemimpin yang didakwa menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui negara ketika kemuncak krisis dalaman Pakatan Harapan (PH), pada Februari lalu.
Perkara itu didedahkan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam wawancara dengan The Malaysian Insight yang disiarkan hari ini.
Malah, menurut Mukhriz selain dua kepimpinan terbabit terdapat enam hingga tujuh pemimpin lain Umno yang turut menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.
“Nama Najib pada senarai teratas walaupun beliau sering disindir Dr Mahathir selepas tewas pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 dan kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah.
“Terdapat gambar pertemuan semua pemimpin parti dengan Tun (Dr Mahathir). Tun memegang sehelai kertas. Ia adalah senarai nama ahli parlimen yang setuju menyokong beliau sebagai perdana menteri dan nama Najib adalah paling atas dalam senarai itu.
“Turut ada dalam senarai berkenaan adalah presiden Umno sekarang (Ahmad Zahid Hamidi) dan ahli parlimen Umno lain yang didakwa atas pelbagai kesalahan selepas PH menang,” katanya seperti dipetik portal itu.
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Mukhriz berkata anggota Parlimen Langkawi yang juga bapanya itu langsung tidak mengendahkan senarai berkenaan kerana pemimpin veteran itu tidak dapat menerima pemimpin Umno yang terpalit pelbagai dakwaan.
Kata Mukhriz, Mahathir sentiasa bertegas tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno “korup” yang dijatuhkannya pada PRU14.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata kesemua yang hadir dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu yang diadakan pada Februari tahun ini dan yang dipengerusikan Mahathir juga bersetuju untuk menyokong bekas perdana menteri ke empat dan ketujuh itu kekal sebagai perdana menteri.
“Mesyuarat bersetuju bahawa kita tidak akan menerima sokongan pemimpin yang korup. Terdapat senarai nama pemimpin korup dan majlis tertinggi bersetuju tanpa berbelah bahagi untuk tidak menerimanya,” katanya.
“Bagaimanapun, presiden (Muhyiddin) tidak setuju. Kami bingung mengapa beliau perlukan pemimpin korup.
“Tun sudah jelaskan yang beliau tidak akan bekerjasama dengan ahli Umno yang korup. Apa yang ditentukan pada mesyuarat itu tidak diendahkan.”
Pertelingkahan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Mahathir semakin berlarutan selepas insiden Langkah Sheraton, yang akhirnya dia dan beberapa penyokong kuatnya, termasuk Mukhriz hilang keahlian Bersatu.
Mereka kemudiannya menubuhkan parti Pejuang bulan lalu, sebuah parti Melayu yang membawa prinsip Bersatu dalam memperjuangkan hak Melayu.
Mahathir menjadi pengerusi Pejuang manakala Mukhriz sebagai presiden.
